Wednesday, October 21, 2015

Ceper

Blog Laporan Permainan Tradisional Ceper

Pada tarikh 21 Ogos 2015, perjumpaan kali pertama subjek “Sport Event Management” telah diadakan. Kami dari kursus EV101 Seksyen 1 telah digabungkan dengan pelajar EV101 seksyen 4 dan beberapa pelajar ET101 dari semester 2.  Pada waktu itu, kami dapat berkenalan dengan pensyarah subjek kami iaitu Encik Firdaus bin Ibrahim serta rakan-rakan dari seksyen lain. Selepas sesi berkenalan, kami diminta untuk melantik ahli jawatankuasa serta memilih permainan yang akan dianjurkan oleh kami. Satu kelas telah sebulat suara untuk memilih Muhd Aizuddin sebagai pengerusi program ini. Beberapa pelajar lain juga telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa program ini. Selepas sahaja perlantikan tersebut, kami semua berbincang tentang permainan yang akan kami anjurkan. Beberapa permainan telah kami senarai untuk dipilih sebagai permainan utama kami.

Pada tarikh 28 Ogos 2015, kami mengadakan perjumpaan kali kedua untuk berbincang tentang permainan-permainan yang akan dianjurkan. Permainan tradisional telah kami pilih sebagai program utama kami dan semua sebulat suara setuju dengan permainan tersebut. Pada ketika itu, kami berbincang untuk menyenaraikan beberapa permainan tradisional yang akan dianjurkan, antara permainan tradisional yang telah dipilih adalah permainan ceper, baling selipar, batu seremban, lompat getah, konda kondi, bola beracun, boling kelapa, Tarik tali dan galah panjang serta takraw bulat.

Pada tarikh 11 September 2015, kami mengadakan mesyuarat bersama dengan ahli-ahli lain serta pensyarah kami, Encik Firdaus. Tujuan mesyuarat ini diadakan untuk membincang cara-cara permainan serta syarat-syarat permainan tradisional ini. Satu demi satu permainan telah kami bincangkan dengan Encik Firdaus. Setelah selesai berbincang dengan Encik Firdaus, beliau telah memberi cadangan kepada kami untuk bermain permainan-permainan tersebut sebelum kami menganjurkan permainan tersebut. Kami sebulat suara setuju akan cadangan Encik Firdaus kerana kebanyakan permainan tradisional tersebut tidak kami ketahui cara- cara permainan tersebut. Dengan cara itu, kami dapat mengetahui cara bermain permainan tersebut sekaligus dapat menganjurkan permainan itu dengan mudah.

18 September 2015, Kami berkumpul di kafe KPTM Kuantan untuk meneruskan perbincangan kami. Pengerusi program kami, Muhd Aizuddin telah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diminta untuk menguruskan satu jenis permainan tradisional dan saya Mohd Irfan Zuhailie telah dipilih berganding bahu bersama Muhd Faiq Rahim dan Muhd Afeeq Aiqal dalam permainan tarik tali. Kami juga diminta untuk mencari bahan-bahan yang diperlukan, sebagai contoh, kumpulan kami penutup botol untuk permainan kami. Kami berkumpulan diminta untuk mengumpulkan penutup botol sebanyak yang mungkin.

19 September 2015, kami memulakan aktiviti kami pada petang itu dengan permainan bola beracun bertempat di court bola tampar. Ahli yang menguruskan permainan tersebut diminta untuk menerangkan cara permainan kepada kami dan mengenal pasti masalah- masalah yang mungkin bakal dihadapi. Selesai sahaja permainan bola beracun, kami bergerak ke court tennis untuk bermain permainan galah panjang. Seperti biasa, ahli yang mengurus akan menjelaskan cara permainan kepada kami dan kami diminta untuk bermain dengannnya.

25 September 2015, kami berjumpa buat kali ketiga, pada ketika itu, kami membincangkan perihal peralatan peralatan yang perlu disediakan untuk program tersebut. Kebanyakan peralatan-peralatan pada ketika itu tidak banyak yang diperolehi kerana kekangan kewangan. Oleh itu, kami bercadang untuk menggunakan wang sendiri. 

2 Oktober 2015, kami berkumpul di kafe untuk memulakan aktiviti kami iaitu ceper yang bertempat di kafe KPTM Kuantan. Ahli-ahli yang menguruskan permainan tersebut memberi penerangan kepada kami tentang cara-cara permainan tersebut beserta syaratnya. Selesai sahaja kami bermain dengan permainan ceper, kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu permainan konda kondi yang bertempat di sebelah stor belakang KPTM Kuantan. Kami bermain permainan tersebut dengan mendengar arahan dari ahli yang mennguruskan permainan tersebut. Selesai sahaja aktiviti tersebut, kami berkumpul semula untuk membincangkan permainan-permainan yang belum dimainkan.

4 Oktober 2015, satu berita telah mengejutkan kepada kami terutama sekali bagi kumpulan yang menguruskan permainan tarik tali, kerana permainan Tarik tali tidak dapat dijalankan atas sebab- sebab keselamatan dan kami terpaksa membatalkan tempahan tali daripada pihak MPK Kuantan. Lebih menyedihkan apabila mereka bertiga terpaksa berpecah, seorang daripada mereka telah diserapkan ke permainan baling selipar bersama Ahmad Fadhil, Dzulfarhan, Abdul Salam, Fareez Nadzmi serta dua ahli perempuan yang lain, manakala Faiq Rahim dan Afeeq Aiqal dimasukkan ke permainan boling kelapa. Pada masa tersebut juga, kami telah mewujudkan permainan tradisional baru iaitu permainan congkak kerana permainan tarik tali telah dimansuhkan.

9 Oktober 2015, merupakan tarikh dimana kami menyediakan persiapan tempat permainan kami. Malang tidak berbau, pada petang itu, kebanyakan pelajar dan pensyarah tidak pulang dari kolej, jadi kami terpaksa menangguhkan persiapan kami pada waktu malam. Pada waktu malam pula, kami menyambung persiapan kami dan membuat briefing cara-cara, syarat serta tempat permainan kepada Encik Firdaus. Kami meneruskan malam tersebut dengan membuat bendera dan menyediakan beberapa peralatan sebelum beredar. Kira kira hampir jam 2 pagi, kami menyelesaikan semua persiapan dan membuat final checking.

10 Oktober 2015, merupakan tarikh keramat bagi kami. Program kami bergabung dengan program yang dikendalikan oleh pihak MPP Kuantan iaitu program Hari Sukan Negara 1 Malaysia. Seawal jam 8 pagi, program tersebut dimulakan dengan senaman cergas iaitu senamrobik. Selesai sahaja aktiviti senamrobik, pelajar-pelajar diberi waktu rehat dan bersarapan sebelum mereka bergerak ke lokasi masing-masing. Lokasi kumpulan kami berada di dalam kelas A01 di sekitar “hallway”. Pada mulanya, permainan ceper agak hambar dengan kehadiran peserta, tetapi kami tidak berputus asa dan mendapat idea cara untuk menarik perhatian pelajar-pelajar. Kami bermain permainan tersebut untuk menunjukkan betapa seronoknya permainan ceper. Alhamdulillah, walaupun tidak seramai yang diharapkan dan sambutan permainan tersebut tidak memberangsangkan, kami amat gembira kerana kami dapat menganjurkan permainan ceper dengan jayanya. Permainan ceper mengambil masa selama sejam setengah untuk menentukan juara permainan ceper. Dengan 100 mata, peserta dari Blok H berjaya menjuarai kejuaraan permainan ceper dan peserta dari blok K mendapat naib juara dalam permainan tersebut. Selesai sahaja permainan baling ceper, kami mengemas tempat tempat yang telah kami gunakan dan memberi keputusan permainan kepada pihak pengurusan yang bertempat di hadapan court tennis. Beberapa permainan seperti baling selipar dan batu seremban telah selesai awal dari kami, tetapi ada juga permainan yang lambat selesai akibat beberapa faktor. 

Setelah selesai sahaja semua permainan-permainan tradisional, kami berkumpul di hadapan court tennis untuk menerima arahan yang seterusnya daripada pengerusi kami, Alhamdulillah kami mendapat makanan “free” dan kami makan sepuas hati kami kerana kepenatan dan terlalu penat dan letih. Setelah selesai makan, kami berjumpa semula dengan pembimbing kami iaitu Encik Firdaus, untuk berjumpa buat kali terakhir pada hari tersebut. Selesai sahaja perjumpaan tersebut, program tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Kami amat berpuas hati dengan program permainan tradisional yang telah kami anjurkan pada hari tersebut. Walaupun pelbagai masalah dan konflik telah kami hadapi, akhirnya kami berjaya juga menghadapi segala permasalahan dan konflik tersebut tanpa mengenal erti penat lelah dan berputus asa.